clock

WAKTU SETEMPAT

Sabtu, 19 Maret 2011

RINDU ALLAH S.W.T.


Cinta adalah perpautan seseorang terhadap sesuatu yang dipandang dapat melazatkan atau membahagiakan.
Jika perpautan itu lebih kuat lagi, maka dinamakan 'rindu'. Sehingga relalah seseorang menjadi hamba kepada kekasihnya. Mahu mengorbankan segala apa yang dimilikinya demi kekasihnya. Masihkah ingat Zulaikha ketika cintanya kepada Yusuf a.s. teramat sangat sehingga sampai ke puncak kerinduan? Dia rela mengorbankan segala harta dan kecantikannya. Dia memiliki emas permata kalung dan leontin tujuh puluh unta. Namun semua itu dia korbankan demi cintanya kepada Yusuf a.s. Setiap orang yang berkata, "Hari ini aku terlihat Yusuf." Maka dia berikan sebuah kalung. Demikian seterusnya sehingga kalungnya habis. Segala-galanya diberikan nama 'Yusuf'. Dia lupa segalanya selain Yusuf kerana kerinduannya yang mendalam. Jika dia menghadapkan ke langit, seolah-olah nama 'Yusuf' itu termaktub pada bintang-bintang.

Diceritakan bahawa ketika Zulaikha telah beriman dan telah menjadi isteri Yusuf, dia malah suka menjauhi Yusuf. Dia lebih suka menyepi untuk beribadah serta memutuskan dirinya untuk beribadah. Ketika Yusuf memanggilnya ke bilik di siang hari, maka dia menolaknya sampai datang malam. Namun ketika Yusuf memanggilnya di malam hari, maka dia menundanya sampai siang hari. Dan dia berkata, "Wahai Yusuf, dahulu aku menyintaimu sebelum mengenali Dia. Maka kini setelah aku mengenali-Nya, maka tiada lagi cinta untuk selain-Nya. Dan aku tidak perlukan penggantinya."

Sehingga Yusuf berkata kepadanya, "Sesungguhnya Allah telah memerintahkanku untuk demikian dan Dia mengkhabarkan bahawa Dia hendak mengeluarkan dua orang putera dari rahimmu yang keduanya akan Dia jadikan Nabi." Kemudian Zulaikha berkata, "Jika Allah memerintahkanmu demikian dan menjadikan aku sebagai 'jalan' untuk itu, maka aku mentaati perintah Allah." Kemudian dengan suka hati dia melayani Yusuf a.s.



Dan diceritakan bahawa Zun-Nun Al-Masri r.a. masuk ke Masjidil Haram. Dia melihat seorang pemuda jatuh sakit dan nampak sekali hatinya sedang meratap pedih. Kemudian dia berkata, "Aku mendekati pemuda itu, kuucapkan salam padanya lalu kutanya, "Siapa engkau wahai pemuda?" Dia berkata, "Aku ini orang asing sedang dirundung rindu." Maka tahulah aku maksudnya. Lalu aku berkata, "Aku juga sepertimu." Kemudian dia menangis dan aku pun menangis kerana tangisannya. Dia bertanya, "Apakah engkau nangis?" Aku menjawab, "Aku juga sepertimu." Kemudian dia menangis lebih keras lagi, sehingga keluar rohnya. Lalu aku selimutkan pakaianku kepadanya. Dan aku keluar untuk mencari kain kafan. Setelah aku mendapat kain kafan, aku kembali lagi. Namun aku tidak menemui pemuda itu di tempatnya. Maka aku berkata, "Maha Suci Allah." Lalu aku mendengar suara Hatif berkata, "Wahai Zun-Nun, sesungguhnya orang asing itu dicari syaitan tidak bertemu, dicari pemilik harta tidak bertemu, dicari keredhaan di Syurga pun tidak ditemui." Kemudian aku bertanya, "Di mana dia sekarang?" Lalu kudengar suara Hatif berkata:

"Di tempat yang disenangi di sisi Tuhan Yang Berkuasa" [Al Qamar, 54:55]

Disebabkan kecintaan, ketaatan dan taubatnya. Demikianlah tersebut dalam kitab Zahrir Riyadh.


Setengah Masyaikh ada yang ditanya tentang Muhib (orang yang menyintai Allah). Maka dia menjawab, "Iaitu sedikit bergaul, banyak menyendiri, selalu berfikir, banyak diam. Dia tidak melihat ketika memandang, tidak mendengar ketika dipanggil, tidak faham ketika diajak bicara serta ia tidak berduka bila ditimpa bencana. Ketika ditimpa kelaparan dia tidak mengerti. Bila dibentak tidak takut. Pendeknya dia selalu memandang kepada Allah dalam penyendiriannya. Dia suka dan bermunajat kepada-Nya serta tidak mempeduli ahli dunia."


Abu Tawwab telah bersyair menyebutkan tanda seorang Mubib:
Janganlah engkau tertipu.
Seorang kekasih punya tanda.
Punya hadiah untuk kekasihnya.
Pahit bala-Nya dirasa nikmat.
Diterima gembira apa pun yang Dia perbuat.
Tidak diberi pun tidak mengapa.
Kefakiran dianggap penghormatan saja.
Kau lihat keinginannya.
Hanyalah mentaati kekasihnya.
Kau lihat mukanya berseri.
Hanya si Dia yang ada di hati.
Dia taat segala ucapan-Nya.


Diceritakan: Pada suatu ketika Nabi Isa a.s. berjalan-jalan. Beliau berjumpa dengan seorang pemuda yang sedang menyirami tanamannya. Lalu pemuda itu berkata, "Wahai Isa, mintakan aku kepada Tuhanmu agar memberiku rezeki 'Mahabbah' kepada-Nya. Meskipun sebesar biji sawi saja." Kemudian Nabi Isa a.s. berkata, "Engkau tidak akan kuat menerimanya sebanyak itu." Pemuda itu mendesak, "Kalau begitu separuh saja." Lalu Nabi Isa a.s. berdoa, "Ya Tuhanku, berilah dia separuh biji sawi dari Mahabbah-Mu." Lalu Nabi Isa a.s. segera berlalu. Setelah beberapa lama kemudian, Nabi Isa a.s. lalu di tempat itu. Maka dia tanyakan tentang pemuda itu. Tetapi orang-orang berkata, "Dia telah gila dan pergi ke suatu gunung." Nabi Isa a.s. mohon kepada Allah agar dapat melihat pemuda itu lagi. Apabila Nabi Isa a.s. dapat bertemu dengan pemuda itu diberinya salam tetapi tidak dijawab oleh pemuda itu. Nabi Isa a.s. berkata, "Akulah Isa." Kemudian Allah memberi wahyu kepada Isa, "Bagaimana dapat dia mendengar ucapan manusia jika dalam hatinya ada separuh biji sawi dari Mahabbah kepada-Ku? Demi Kemuliaan dan Keagungan-Ku. Kalau engkau kerat dia dengan gergaji nescaya dia tidak akan merasa sakitnya."


Barangsiapa mengaku tiga hal, namun tidak bersih dari tiga hal, bererti dia tertipu. Pertama, mengakui akan manisnya zikir, sedangkan dia masih cintakan dunia. Kedua, mengaku ikhlas beramal, tetapi suka penghormatan manusia kepadanya. Ketiga, dia mengakui cinta kepada Khaliknya, tetapi masih memperturut nafsunya.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

"Akan datang atas umatku di mana ia menyukai lima hal dan melupakan lima hal. Mereka suka kepada dunia dan melupakan Akhirat. Mereka suka pada harta sehinggakan melupakan Hari Hisab. Mereka cintakan makhluk sehingga melupakan Khaliknya. Mereka suka berdoa, tapi lupa bertaubat, dan mereka suka rumah tetapi lupa kubur."


Pernah Mansur bin Ammar menasihati seorang pemuda: "Wahai pemuda, jangalah engkau tertipu oleh mudamu. Betapa banyak anak muda melambat-lambat taubat lalu apabila maut datang dia lupa bertaubat. Apabila dalam kubur, seluruh anak isteri dan keluarganya bahkan segala hartanya tidak berguna lagi. Sebagaimana Allah telah berfirman:

Ertinya: "Pada hari di mana harta dan anak tidak bermanfaat. Kecuali orang-orang yang datang kepada Allah (mati) dengan hati yang selamat (bersih)." [Asy Syu'araa', 26:88-89]

Ciri-ciri orang mukmin adalah setiap saat selalu bertaubat dan menyesali dosa-dosanya. Dia memadai apa yang ada dan sama sekali tidak terpikat pada dunia. Bahkan dia selalu beramal untuk Akhirat dan menyembah Allah dengan ikhlas.


Diceritakan bahawa Asiah, isteri Fir'aun merahsiakan dia beriman kepada Allah dari Fir'aun. Setelah Fir'aun mengetahui keimanannya, ia perintahkan pada pengawalnya untuk menyeksa isterinya dengan macam-macam seksaan. Lalu Fir'aun berkata, "Murtadlah engkau!" Asiah tidak mahu murtad. Segera tubuh Asiah diikat pada beberapa pancang kecil dan Fir'aun mengherdik lagi, "Murtadlah engkau!" Asiah berkata, "Engkau tahu jiwa ragaku dalam penjagaan Allah." Kemudian Musa a.s. lalu di hadapannya maka dia berkata, "Wahai Musa! Khabarkan kepadaku, apakah Tuhanku rela atau murka padaku?" Musa a.s. menjawab, "Wahai Asiah, semua Malaikat langit merindukan dan Allah memujimu. Dia berkata, mintalah kepada-Ku akan Kupenuhi!" Lalu Asiah berkata yang telah diceritakan dalam Al-Qur'an:

"Ya Tuhanku, bangunkan untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam Syurga dan selamatkanlah aku dari Fir'aun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim." [At Tahriim, 66:11]

Dari Salman r.a. berkata, "Isteri Fir'aun diseksa dengan berjemur di panas matahari. Ketika mereka pergi, para Malaikat memayungi wanita itu dengan sayapnya. Dia melihat rumahnya dalam Syurga."

Dan diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa: Fir'aun merentangkan isterinya pada empat pencang dan dibiarkan di bawah panas matahari. Kemudian Asiah menghadapkan muka ke langit seraya berkata,

"Ya Tuhanku, bangunkan untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam Syurga" [At Tahriim, 66:11]

Hasan berkata, "Kemudian Allah s.w.t. menyelamatkan dan mengangkat ke Syurga. Ia makan dan minum senang lenang."

Hal tersebut merupakan dalil bahawa memohon pertolongan daripada Allah, berlindung kepada-Nya dan memohon pertolongan kepada-Nya dari segala kesulitan dan bencana adalah perbuatan soleh dan adab orang mukmin.


Disalin dari: Mukashafah Al Qulub (Penenang Jiwa) — Imam Al-Ghazali

Tidak ada komentar:

Posting Komentar